EKONOMI DUNIA MAKIN PULIH????


Ekonomi dunia diramal berkembang 4.1 peratus

EKONOMI dunia tahun ini dijangka berkembang 4.1 peratus disokong daya tahan berterusan negara membangun, didahului China dan India serta negara pengeluar minyak.

Namun, inflasi yang semakin tinggi akibat peningkatan harga barang makanan dan bahan api boleh menghakis prestasi pertumbuhan terutama di negara membangun.

Pada 2008, inflasi dunia dijangka berkembang 4.7 peratus berbanding 3.9 peratus pada 2007.

Amerika Syarikat (AS) pula terus terjejas dengan masalah sektor kewangan yang telah menjejaskan ekonominya.

Sejak berlaku krisis gadai janji subprima pada pertengahan 2007, AS telah mengambil beberapa langkah untuk membendung kesan negatif krisis sektor kewangan, termasuk memberi bantuan kewangan kepada salah satu daripada bank pelaburan terbesar dan cadangan untuk menyelamatkan dua syarikat gadai janji kewangan terbesarnya.

AS juga telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$168 bilion tahun ini merangkumi rebat tunai dan insentif cukai bagi meningkatkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan.

Berikutan itu, prestasi ekonomi AS kekal pada kadar 1.8 peratus dalam suku kedua 2008 (April - Jun 2007: 1.8 peratus), disokong sumbangan positif eksport barangan dan perkhidmatan, perbelanjaan kerajaan, pelaburan swasta serta perbelanjaan penggunaan peribadi.

Inflasi pula meningkat 3.5 prestasi dalam tempoh suku kedua 2008 (April - Jun 2007: 2.7 peratus) disebabkan kenaikan harga tenaga dan barang makanan.

Ekonomi di 15 negara kawasan euro yang tidak begitu terjejas akibat krisis subprima gadai janji AS, telah mencatatkan pertumbuhan 1.5 peratus dalam tempoh suku kedua 2008 (April - Jun 2007: 2.6 peratus), berbanding 2.2 peratus dalam tempoh suku pertama (Januari - Mac 2007: 3.2 peratus).

Pengurangan ini sebahagian besarnya disebabkan peningkatan tinggi harga komoditi yang mengekang perbelanjaan pengguna, pengukuhan mata wang euro, kos pinjaman yang lebih tinggi dan kelembapan ekonomi AS.

Jerman yang pada umumnya menyumbang hampir 30 peratus daripada keluaran kawasan euro, mencatat pertumbuhan lebih perlahan dalam tempoh suku kedua, iaitu 1.7 peratus (April - Jun 2007: 2.5 peratus) berbanding 2.6 peratus yang dicatatkan dalam suku pertama (Januari - Mac 2007: 3.4 peratus), akibat daripada kemerosotan permintaan luar serta penggunaan domestik yang terus dihimpit tekanan inflasi.

Pada Jun dan Julai 2008, inflasi di kawasan euro kekal pada kadar 4.0 peratus, tertinggi sejak pembentukan blok itu pada 1999.

Ekonomi Jepun berkembang 1.0 peratus dalam tempoh suku kedua 2008 (April - Jun 2007: 1.8 peratus), berkurangan daripada 1.2 peratus dicatatkan dalam tempoh suku pertama (Januari - Mac 2007: 3.2 peratus), terutama disebabkan penurunan dalam eksport dan perbelanjaan pengguna.

Tahun ini, ekonomi Jepun dijangka berkembang 1.5 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2007.

China, ekonomi terbesar di Asia Timur (tidak termasuk Jepun) berkembang 10.1 peratus dalam tempoh suku kedua 2008 (April - Jun 2007: 11.7 peratus), berkurangan daripada 10.6 peratus dalam suku pertama (Januari - Mac 2007: 11.1 peratus) berikutan permintaan eksport yang lebih rendah, renminbi yang bertambah kukuh dan upah yang meningkat.

Ekonomi China diramal berkembang 9.7 peratus tahun ini (2007:11.9 peratus), disokong oleh penggunaan dan eksport.


Ihsan dr Berita Harian
Posted by,
Rafizi ラフィジ

1 comments:

6 ABU BAKAR 2001 said...

Amerika dan yahudi adlh punca kekalutan yg memberi impak besar kpd ekonomi global.perkara ini xdapat d'nafikan lagi.....d sbalik kekalutan ini, ade agenda t'sembunyi Yahudi utk mngawal dunia..fikir2 kan lah.

Rafizi